Daulat Tuanku– Telah berlangsung Istiadat kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden yang diadakan di Istana Besar Johor pada 23 Mac 2015. Bersempena kemahkotaan tersebut, Sultan Ibrahim turut berkenan memberi gelaran baharu kepada isteri baginda Raja Zarith Sofia Sultan Idris sebagai Permaisuri Johor yang merupakan gelaran pertama kali digunakan di negeri Johor. Sebagai insan yang lahir dan dibesarkan di negeri Johor, KK turut berbangga atas pertabalan kemahkotaan ini.
Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Baginda merupakan anak sulung daripada 10 adik-beradik kepada Sultan Iskandar bersama bundanya, Josephine Ruby Trevorrow, seorang berbangsa Inggeris. Mereka berdua bertemu ketika Sultan Iskandar (sebelum itu Tengku Mahmud) melanjutkan pelajaran di England. Trevorrow kemudiannya memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Kalsom binti Abdullah dan berkahwin dengan Tengku Mahmud.
Sultan Ibrahim telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada Julai 1981. Pernah menjadi Pemangku Sultan Johor pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989 ketika ayahandanya, Sultan Iskandar dimahsyurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-8. Baginda sekali lagi dilantik sebagai pemangku sultan ketika laporan perubatan rasmi mengenai kemangkatan Sultan Iskandar belum disahkan lagi. Sultan Ibrahim dimahsyurkan sebagai Sultan Johor yang baharu setelah kemangkatan Sultan Iskandar pada 23 Januari 2010 berdasarkan Undang-undang Tuboh Kerajaan Negeri Johor 1895 dengan gelaran Sultan Ibrahim.
Sejarah Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor
Sejarah Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor telah diperkenalkan oleh Sultan Johor Moden yang pertama iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1886 selepas baginda mendapat ilham dari lawatan ke Empayar British dan Empayar Uthmaniah. Baginda memperkenalkan konsep mahkota kepada raja-raja Melayu yang kemudiannya diikuti oleh Kelantan, Selangor dan Terengganu.
Pada Januari 2015, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menyampaikan perkenan baginda untuk melangsungkan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor. Kali terakhir istiadat tersebut berlangsung sewaktu Kemahkotaan Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim ialah pada tahun 1960. Sultan Iskandar pula tidak berkehendakkan Istiadat kemahkotaan buat dirinya.
![]() |
Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 10 Februari 1960 di Istana Besar Johor Bahru - gambar mstar.com |
Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor ini menterjemahkan tradisi diraja Johor Moden yang mempamerkan tradisi gabungan Melayu, Islam dan Barat. Bagi menyerikan lagi Istiadat Kemahkotaan ini, sekurang-kurangnya sembilan istiadat utama dan keraian di seluruh negeri Johor yang dijangka berlangsung selama 3 bulan.
Sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor ini, setem pos yang direka khas dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM 1:00 serta sampul surat hari pertama kemahkotaan dicetak dan dijual oleh Pos Malaysia bermula 23 Mac 2015. Medallion emas bersempena kemahkotaan juga turut dijual oleh Bank Negara Malaysia.
Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah Sempena Kemahkotaan Sultan Johor
Patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor sempena Istiadat KemahkotaanBaginda. Semoga Allah melanjutkan usia Tuanku dan semoga negeri dan rakyat Johor sentiasa dirahmati Allah swt dibawah pemerintahan Tuanku… aamiin.
Daulat Tuanku