MAHA - Ekspo dan Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia(Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show) merupakan ekspo dan pameran yang menjadi tumpuan ramai di musim cuti sekolah ini. MAHA 2016 diadakan di tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pada 1 hingga 11 Disember dengan pelbagai pengisian ilmu, informasi dan aktiviti bermanfaat yang memang berbaloi dikunjungi seisi keluarga.
Pengalaman Sekeluarga Berkunjung Ke MAHA 2016
Alhamdulillah, tahun ini saya sekeluarga berpeluang bersama-sama rakan blogger Malaysia ke MAHA 2016. Ekspo dan pameran bertaraf antarabangsa dengan tema 'Our Food Our Future' ini juga merupakan satu komitmen serius dalam usaha menyokong kemajuan dan pembangunan industri Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan negara.
MAHA 2016 sangat meriah dan unik. Perjalanan kami menerokai pelbagai lokasi pameran dari pagi hingga ke malam merupakan pengalaman yang sarat dengan pengisian ilmu. Sebenarnya kalau diikutkan, sehari suntuk belum cukup untuk menerokai keseluruhan pameran. Setiap lokasi yang dilawati mempunyai nilai informasi dan estatika yang membuatkan kami terhenti dan teruja!
Jom ikuti jurnal seharian kami di MAHA 2016
Nafas Cube MARDI di MAHA 2016
Bermula lokasi pertama ke Nafas Cube @ Mardi untuk bersarapan dan melawat persekitaran telah membuka minda tentang keunikan senireka bangunan... cantik, kreatif dan 'eco-system friendly'. Datang mood romantika di pagi hari dengan puan mem... awaklah nafas saya, chewah.
Waktu sarapan kami juga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Y.B Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani. Haaa.. saya pun mula menggunapakai ilmu
'menyelit berswafoto'dengan
Bro Framestone dan Pak Menteri... Y.B. sangat sempoi :).
Perjalanan eksplorasi ekspo kami diteruskan dengan meninjau lokasi NAFAS Agro Youth Camp di Taman Rekreasi MARDI. Saya difahamkan kem remaja wanita ini diadakan untuk menyuntik generasi remaja dengan ilmu dan informasi sebagai bekalan kehidupan. Seperti 'summer camp', pelbagai pengisian aktiviti perkemahan diadakan buat semua para peserta kem ini.
My DOF Valley Laman Jabatan Perikanan Malaysia
Laman Perikanan My DOF Valley merupakan inisiatif Jabatan Perikanan Malaysia berkongsi maklumat untuk kesedaran orang ramai tentang sektor perikanan negara. Info yang sangat bermanfaat terutamanya buat anak-anak dalam membantu pembelajaran mereka. Kak Cik dan Ucu pula dapat hadiah ikan Pelaga sebab dapat jawab soalan di MyDOF Tropicarium... balik masing-masing bela ikan.
Pelbagai makanan laut hasil perusahanan sektor perikanan yang telah dikomersilkan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia ini. Selain itu, terdapat juga info kesedaran awam tentang Kempen Tak Nak Sirip Ikan Yu dan informasi berkaitan ikan Yu serta kehidupan laut untuk diketahui.
Laman Padi Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani
Laman Padi menyediakan informasi berkaitan industri beras negara. Bukan sekadar itu, terdapat juga pameran mengenai fungsi dan kegunaan beras selain memasak nasi. Paling istimewa, terdapat sawah padi di persekitaran Laman Padi ini yang sedikit sebanyak mampu memberikan pengalaman suasana berada di bendang dan sawah padi.
Laman Nanas @ Pusat Informasi Nanas
Pameran dan jualan pelbagai produk berasaskan nanas ada tersedia di Laman Nanas. Paling seronok bertamu ke Pusat Informasi Nanas ini ialah apabila bertemu dengan rakan dan kenalan yang bertugas di sini. Puan mem dapat jumpa kawan sekampung dan ada seorang rakan blogger Hazman Fadzil yang kini menjadi pengusaha nanas dengan jenama Jus Bob Nanas, berniaga di sini.
Laman Armada Jentera MAHA 2016
Bila dengar nama 'armada' terasa macam nak berperang pula. Maklumlah minda ini sudah terbiasa mengaitkan armada dengan jentera peperangan. Namun, Laman Armada Jentera telah membuka minda saya sendiri tentang kepentingan mesin dan jentera dalam menjayakan transformasi industri pertanian. Satu perjuangan penting dalam merealisasikan wawasan ke arah negara maju.
Laman Ternakan Dan Pusat Perdagangan Agro Pelancongan
Lembu Sado yang popular sempena MAHA 2016 berada di sini. Kami turut diberi penerangan tentang teknik kacukan lembu-lembu ini. Keseluruhan kawasan pun agak luas dengan ruang pameran dan juga gerai makanan daging lembu dan kambing selain produk tenusu segar dari ladang.
Laman Sayur Dan Ladang Mini Madu Kelulut
Walaupun hujan di waktu petang, eksplorasi diteruskan dengan berkunjung ke Laman Sayur dan Ladang Mini Madu Kelulut. Kami juga diberi penerangan tentang keadaan semasa sektor sayuran serta bagaimana mengusahakan sayur-sayuran sebagai usahawan dan petani moden. Di Ladang Mini Madu Kelulut pula kami berpeluang merasa sendiri rasa madu kelulut terus dari sarangnya.
Flora World Dan Kampung Durian Runtuh Upin Ipin
Flora World merupakan lokasi taman bunga-bungaan di dalam taman dengan lanskap yang cantik dan menarik. Ia diibaratkan seperti laman
botani yang dihiasi bunga-bungaan. Terdapat juga replika dinasor yang kreatif dan unik diperbuat menggunakan botol-botol plastik terpakai.
Bagi kanak-kanak di sekitar lokasi Flora World ini pasti bertambah teruja bila dapat terlibat dengan aktiviti di Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin. Antara aktiviti adalah memilih tanaman dan tanah. Kami semua pilih benih jagung dan ditanam dalam pasu yang diberikan untuk dibawa pulang... tengoklah nanti, pokok jagung siapa yang tumbuh dahulu.
Kampung Mak Cun MAHA 2016
Kampung Mak Cun menyediakan persembahan dan juga kawasan menjamu selera ala tradisional. Kami hanya lalu berjalan kaki di sini untuk ke lokasi seterusnya. Pada ketika itu tiada persembahan sedang dibuat. Medan selera juga sangat penuh dengan pengunjung ekspo menikmat pelbagai hidangan masakan.
Laman Food Empire MAHA 2016
Bagi penggemar makanan, ada lebih 160 menu pilihan disediakan di laman Food Empire. Penyediaan makanan dipantau sepenuhnya oleh MAHA 2016. Hanya penyedia makanan yang layak berdasarkan kriteria pertandingan masakan terbaik dari seluruh negara sahaja ditawarkan menyertai Food Empire ini. Justeru, masakan dan minuman sememangnya sedap dan terjamin.
Laman Ekspo Dan Pameran MAHA 2016
Sesungguhnya, MAHA 2016 bukan calang-calang ekspo dan pameran. Semakin petang semakin ramai pengunjung memenuhi keseluruhan luar dan dalam kawasan MAEPS. Sebagai blogger yang menyertai Day Out ini, saya amat berbesar hati atas segala layanan pemamer dan pihak bertugas yang sentiasa sudi berkongsi informasi dan ukhwah silaturrahim.
Terima kasih kepada MAHA 2016 atas segala
'hospitality' sepanjang lawatan menerokai hampir keseluruhan lokasi ekspo dan pameran. Satu pengalaman dan perolehan ilmu yang bermanfaat dan amat bermakna. Penghargaan buat
Blog Retis atas undangan, juga rakan-rakan blogger yang sama-sama berkongsi kecerian sepanjang hari.
Jika diikutkan, banyak lagi coretan yang ingin dikongsi sepanjang lawatan MAHA 2016. Ekspo dan pameran MAHA diadakan setiap 2 tahun sekali. Semoga berjumpa lagi pada 2018 dengan pengisian tambahan baru demi memajukan lagi industri Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan negara.